MARAN, 25 November- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang guru sekolah menengah yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Pahang ketika memancing berhampiran jeti Chenor pada pukul 6.00 petang semalam, diteruskan.
Murdani Ab Rahman, 53, dilaporkan terjatuh ke dalam sungai sebelum dihanyutkan arus deras.
Pegawai Perhubungan Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang Zulfadli Zakaria berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Maran menerima panggilan pukul 6.39 petang.
Pihaknya menerima maklumat dari Ibu Pejabat Polis Daerah Maran memaklumkan seorang lelaki dewasa dikhuatiri lemas berhampiran jeti itu ketika melakukan aktiviti memancing.
BBP Maran menghantar 10 anggota ke lokasi kejadian bagi operasi SAR dengan membawa sebuah jentera Decrease Fireplace Rescue Relaxed (LFRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah pacuan empat roda serta sebuah bot.
Anggota penyelamat telah membuat kerja-kerja pencarian di permukaan air di lokasi dengan menggunakan bot bomba dan bantuan bot orang awam namun belum menemukan sebarang petunjuk.
Sementara itu, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah menitahkan agar sebuah pasukan khas bagi operasi SAR ditubuhkan terutamanya bagi kejadian di Sungai Pahang.
Titah Baginda, ia merupakan satu keperluan ekoran ramai anggota dari luar daerah dan negeri perlu diambil bertugas setiap kali berlaku kejadian lemas.
“Sudah tiba masanya Pahang mempunyai pasukan khas untuk SAR ini untuk tujuan menyelamat. Kita tahu kawasan berisiko di Chenor, Temerloh, Jerantut dan Lipis.
“Sekiranya ada sekumpulan pasukan khas di beberapa daerah, ia akan mempercepat operasi SAR,” titah baginda.
Baginda bertitah ketika berangkat bercemar duli melihat operasi mencari dan menyelamat seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Afzan Chenor yang dikhuatiri lemas di Sungai Pahang, berhampiran Jeti Chenor, di Maran.
Murdani Ab Rahman, 53 bertugas sebagai Guru Penolong Kanan Kokurikulum disedari terjatuh ke dalam sungai kira-kira pukul 6.00 petang semalam sebelum dibawa arus deras.